KUALA TERENGGANU 9 April - Mek Lijah,54, isteri Tok Dor Jali di Hulu Besut mula merungut setelah tiga bulan bil air tidak dijelaskan ke...
KUALA
TERENGGANU 9 April - Mek Lijah,54, isteri Tok Dor Jali di Hulu Besut mula
merungut setelah tiga bulan bil air tidak dijelaskan kerana suaminya yang
banyak habiskan masa di kebun sering tak mengendahkan soal itu jika tidak
selalu diingatkan.
Dia
meminta salah seorang daripada dua anaknya yang kebetulan ingin ke bandar agar
membuat bayaran itu namun dia agak terperanjat bila diberitahu oleh anaknya
yang melihat bil-bil itu bahawa mereka tidak perlu lagi menjelaskannya.
Bil
yang tetap sampai ke rumah setiap bulan tidak lebih sekadar makluman tentang
tahap penggunaan sahaja, dan dengan jumlah yang dicatatkan di bawah 20 meter
padu (bersamaan RM8.40) melayakkan mereka menikmati kemudahan bekalan air
secara percuma.
“Ambo
tak tahu kerajaan beri percuma. Ambo rasa lega tak payah habis masa pergi
bandar untuk buat bayaran, tak risau air kena potong. Kadar RM8.20 itu mungkin
tak ada makna bagi setengah orang, tetapi ambo berterima kasih sangat.
“Banyak
benda yang dia (kerajaan) bantu, selebihnya kita usahalah sendiri,
tanggungjawab kita, dok gitu (bukan begitu?),” katanya yang turut merujuk
tentang penerimaan BR1M, Dana Raya untuk keluarga dan Dana Remaja untuk
anak-anaknya selain soal insentif untuk kebun suaminya.
Mek
Lijah yang ditemui kebetulan sewaktu menjengah anaknya yang belajar di sebuah
sekolah berasrama penuh di sini Sabtu lalu merupakan kalangan hampir 500,000
penduduk negeri ini, melibatkan kira-kira 110,000 buah rumah yang mendapat
subsidi itu mulai awal tahun ini.
Langkah
tersebut merupakan antara insentif kerajaan negeri melalui Bajet 2018 yang
dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman bagi terus
menjaga kebajikan rakyat termasuk menikmati bekalan bersih di samping
menggalakkan penggunaan secara cermat.
“Pemberian
bekalan air percuma untuk penggunaan domestik di seluruh negeri mulai awal
tahun ini melibatkan peruntukan kira-kira RM6.6 juta setahun walaupun tarif air
di negeri ini merupakan antara yang terendah, dan bekalan yang disalurkan
berkualiti mengikut piawaian yang ditetapkan.
“Isi
rumah yang menggunakan air melebihi 20 meter padu sebulan pula diharap akan
berusaha untuk mengekalkan penggunaannya di bawah kadar tersebut, dan secara
tidak langsung kita melatih budaya berjimat cermat,” ujar Ahmad Razif.
Ketua
Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU), Atemin Sulong pula
menjelaskan sejumlah antara RM520,000 hingga RM550,000 diperuntukkan oleh
kerajaan negeri setiap bulan untuk pemberian air percuma itu.
“Kita
ada lebih 300,000 pemegang akaun SATU, 85 peratus adalah pengguna domestik di
seluruh Terengganu dan 35 peratus daripadanya atau 110,000 rumah menikmati
kemudahan air bersih secara percuma setiap bulan,” ujar Atemin ketika ditemui
semalam.
Pada
tahun ini, kerajaan negeri turut memperuntukkan sebanyak RM47.88 juta untuk
pembangunan bekalan air sejajar dengan pembukaan kawasan penempatan baharu dan
program pengurangan Air Tidak Berhasil (NRW) sepanjang tahun ini.
Perkhidmatan
air merupakan industri yang berintensif teknologi dan memerlukan modal yang
tinggi, peruntukan yang besar diperlukan setiap tahun termasuk menggantikan
paip-paip air sedia ada kerana banyak yang telah melebihi jangka hayatnya.
Ini
meletakkan Terengganu sebagai salah satu negeri yang paling memberi keutamaan
dan terkehadapan dalam pengurusan perkembangan sumber itu untuk menampung
keperluan semasa dan akan datang, seiring dengan jangkaan kerancakan
pembangunan dan kepesatan pertumbuhan penduduk.
Sehingga
kini, liputan bekalan air bersih sudah menjangkau 99.8 peratus kawasan di
seluruh negeri ini termasuk di semua perkampungan masyarakat Orang Asli, dan
kerajaan negeri sudah membuat persiapan untuk keperluan masa depan terutama di
Kuala Terengganu dan Kemaman.
Di
Kuala Terengganu, loji baharu menelan kos sebanyak RM800 juta manakala di
Kemaman sebanyak RM500 juta, kedua-duanya dijangka siap pada 2020 dan 2019
yang kelak berupaya menampung keperluan pengguna mencecah 2035 hingga 2040.
Pada
Mei 2016, Petronas menyerahkan hak milik loji rawatan air bernilai RM464 juta
yang membekalkan air terawat ke Kompleks Petrokimia di Kertih (KIPC) kepada
kerajaan negeri enam tahun lebih awal daripada perjanjian yang sepatutnya.
Pengambilalihan
loji rawatan air itu akan menjimatkan masa dan kewangan kerana pembinaan sebuah
loji baharu memerlukan sekurang-kurangnya dua tahun untuk disiapkan, malah ia
memerlukan perbelanjaan cukup tinggi.
Langkah
itu membolehkan bekalan diperluaskan bagi menampung keperluan domestik dan industri
di Kemaman, di samping sebahagian keperluan di Hulu Terengganu.
“Ini
juga membolehkan loji di daerah Hulu Terengganu ditutup kerana tidak lagi
ekonomik dan sering terdedah kepada gangguan bekalan pada musim kemarau,” ujar
Atemin.
Bagi
Atemin mungkin hanya golongan yang berada dalam kesenangan tidak memberi nilai
terhadap pemberian percuma itu, dan Mek Lijah mungkin bersetuju dengan
kata-katanya itu. - UtusanOnline
COMMENTS