SEPAK Takraw League (STL) tanpa ramai lagi tonggak Malaysia? Ke mana perejam skuad Piala Raja Thailand lalu seperti Khairol Zaman Hamir Akhbar? Dekma atau Farhan Adam? Tiada lagi Man Kuda? Siapa otai lain yang melibas lagi?

Semuanya terjawab dan terlerai apabila Divisyen Satu STL 2016 disingkap tirainya mulai Jumaat ini di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor.

Namanya mungkin seperti bertaraf di belakang Divisyen Perdana STL yang sudah memasuki minggu kelima, Jumaat ini tetapi perlu diingat, saingannya mungkin tetap setanding mahupun lebih hebat!.

Bermula serentak hari namun diawalkan ke sebelah pagi, 12 pasukan Divisyen Satu STL ialah Perlis, Perak, Selangor, Negeri Sembilan The Jangs, Pahang, Putrajaya, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah, Sarawak, Labuan dan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) A serta B.

Kenapa rejamannya bakal lebih deras dan meletup? Biasanya dalam pertandingan, yang memburu lebih berazam kuat daripada yang mempertahankan.

Seperti mana Liga Super dan Perdana dalam bola sepak, dua tempat Divisyen Perdana yang bakal ditinggalkan dua pasukan corot musim ini, menanti juara dan naib juara Divisyen Satu dalam musim 2017.

Ramai pemain kebangsaan dikatakan lebih rela menumpahkan kudrat dan keringat mereka kepada negeri kelahiran masing-masing walaupun ganjaran juara Divisyen Satu STL yang menanti hanyalah RM10,000 berbanding RM40,000 di Divisyen Perdana.

Di antara Terengganu Turtles, Penang Panthers, Kedah Eagles, Johor Tigris, Kuala Lumpur Thunder, Kelantan Warriors, ATM Guardians dan Melaka Titans, yang kini menghampiri pusingan kedua STL pun dikatakan pernah menawarkan tempat buat kaki libas Divisyen Satu ini.

Namun keserasian dengan rakan senegeri turut menjadi sebab mereka menolaknya. STL musim lalu juga mematangkan mereka dalam hal itu apatah lagi kerana bersaing secara berpasukan.

Berbeza dengan kelapan-lapan tadi, 10 pasukan Divisyen Satu mungkin dapat dinilai daripada prestasi pemainnya dalam Kejohanan Kebangsaan Piala Emas Khir Johari, Sukan Malaysia (Sukma) dan Grand Prix 1Malaysia, beberapa bulan lalu.

Negeri Sembilan jelas menonjol! Kata pengurus pasukannya, Wan Mohd Husni Abdullah: “Kami sasarkan juara untuk layak ke Divisyen Perdana musim depan.” Kenapa tidak kalau sudah dilengkapi tiga pemain negara, Izuan Efendi Alias, Zaman dan Syazreenqamar Salehan (Dekma)?

Selangor pula yang kali terakhir menjulang Piala Khir pada 2011, bakal mempertaruhkan Noor Azman Abdul Hamid (Man Kuda) dan diapit kapten Malaysia, Farhan dan perejam muda, Shafirul Nizam Zainal selain simpanan berpengalaman antarabangsa, Ahmad Sufi Hashim dan Muqlis Borhan.
 
Bekas pemain kebangsaan berusia 33 tahun yang pernah menyertai kelab Liga Thailand, Phrae ini pasti disaingi hebat tonggak juara Sukan SEA 2005, Normanizam Ahmad, malah apit kirinya, Zulkarnain Arif disebut-sebut akan memperkuatkan Putrajaya.