KUALA TERENGGANU -  Seorang lelaki dituduh menipu tiga wanita menerusi penjualan emas palsu tahun lalu, ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, di sini, semalam.

Tertuduh, Che Mohammad Shamiezal Che Amran, 25, dari Kampung Dal Badang, Jalan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu, Kelantan, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas tiga pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh dituduh menipu Nur Faraziela Mohamad, 35, dengan menyerahkan seutas rantai leher berwarna kuning emas 9.61 gram (g) bertulis 916 pada cangkuk rantai leher yang mendorong mangsa percaya ia adalah rantai emas tulen dan menyerahkan cincin emas seberat 2.17g, sepasang subang (1.38g) dan loket (1.91g) bernilai RM1,125 serta wang tunai RM77 kepada tertuduh pada pada 23 Disember 2015.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menipu Zaleha Mohamed, 53, dengan menyerahkan seutas rantai leher berwarna kuning emas seberat 15.44g bertulis 916 pada cangkuk rantai itu, yang mendorong mangsa mempercayai ia adalah emas tulen dan menyerahkan seutas rantai kaki 916 seberat 6.32g serta subang paku 916 (1.78g) pada 26 Disember 2015.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa menipu Noroha Abdul Mubin, 47, dengan menyerahkan rantai tangan berwarna kuning emas 14.84g bertulis 916 pada cangkuknya, yang mendorong mangsa mempercayai ia adalah emas tulen, lalu menyerahkan seutas rantai leher seberat 6.39g, loket emas (1.61g) dan subang paku (1.18g) bernilai RM1,1880 dan wang tunai RM20 pada 28 Disember tahun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.
Sejurus pengakuan tidak bersalah direkodkan, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 iaitu RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.