KUALA TERENGGANU – Seorang pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Sekolah Kebangsaan (SK) Gelugor, mendapat perhatian Yayasan Pendidikan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (YPM).

Nur Syahirah Ayub berkata, dia bersyukur memperoleh keputusan 6A pada UPSR yang lepas kerana menerima banyak hadiah daripada pihak luar termasuk daripada guru sekolah dan juga YPM.

Anak kedua daripada lima beradik itu, kini sibuk menjalani temuduga di kebanyakan sekolah termasuk Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Kuala Terengganu, Sekolah Menengah Sains Kuala Terengganu.

Namun, Syahirah lebih suka memilih untuk menyambung persekolahan menengah di SM Imtiaz Kuala Terengganu kerana kakak sulungnya, Nur Munirah turut bersekolah di situ.

“Saya nak sambung belajar kat sekolah kakak, lagipun saya nak jadi seorang pensyarah bila besar nanti.
“Saya nak berjaya macam kakak juga, dapat masuk sekolah berasrama dan dapat ramai kawan,” katanya kepada Sinar Harian ketika menerima kunjungan YPM di rumahnya di Kampung Gelugor Kedai, di sini.

Ditanya rahsia kejayaan Syahirah sehingga menjadi antara tiga pelajar cemerlang UPSR di SK Gelugor, dia berkata, fokus di dalam kelas dan berani bertanya mungkin formula terbaik untuk dia mengingati apa yang diajar guru.

Selain bijak di dalam akademik, Syahirah juga aktif dalam setiap program yang diadakan di sekolah termasuk pertandingan bercerita dan suka akan subjek Bahasa Inggeris.

Berasal daripada keluarga sederhana, Syahirah mengakui dia tidak mampu menyertai kelas tuisyen selain yang diadakan di sekolahnya.

Disebabkan itu, dia mengambil peluang di hadapan mata sebaik mungkin ketika menyertai kelas tambahan di sekolah untuk memastikan dia mendapat keputusan UPSR yang terbaik.

Ternyata, usahanya berbaloi dan dia nekad mengubah nasib keluarga demi membantu ayah, Ayub Mamat, 44, yang bekerja sebagai tukang rumah manakala ibu, Siti Zabidah Nator, 41, hanya seorang suri rumah.

Bercita-cita menjadi pensyarah apabila besar nanti, Syahirah sudah bersedia menghadapi cabaran lebih berat dalam menimba ilmu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YPM, Mohamad Imizan Ismail berkata, Syahirah adalah salah seorang murid yang sering dipilih mengikuti kursus-kursus kecemerlangan UPSR anjuran YPM sebelum ini.

Walaupun saya difahamkan dia mendapat 4A pada percubaan UPSR, namun semangatnya kuat untuk berjaya menjadikan usaha itu berbaloi.

“Tahniah dan Alhamdulillah di atas kejayaan anak-anak UPSR baru-baru ini, YPM sentiasa mengambil berat soal pendidikan anak-anak kurang berkemampuan di negeri ini untuk dibantu.

“Sebab itu setiap tahun kita (YPM) akan adakan kursus-kursus sebegini untuk pastikan pendidikan keluarga sederhana atau miskin ini terbela dan mereka mampu mengubah kehidupan keluarga pada masa akan datang,” katanya.