Tema Sambutan Maulidur Rasul 2016 - 1437H Dan 1438H. Tanggal 12 Rabiulawal dalam bulan hijrah Islam merupakan satu tarikh keramat da...
Maulidur Rasul
2016
Tema
Sambutan Maulidur Rasul 2016 - 1437/ 1438H
Bersempena
dengan sambutan Maulidur Rasul 2016, berikut dikongsikan tema Maulidur Rasul
2016 1437/1438H.
Tahun
2016 : "UKHUWAH ISLAMIAH ASAS
PENYATUAN UMMAH"
2015
: “PERPADUAN NADI TRANSFORMASI NEGARA”
2014
: "WASATIYYAH TONGGAK KESATUAN
UMMAH"
MAULIDUR RASUL : KEPERIBADIAN
TERPUJI PERJUANGAN DIHAYATI
Tanggal 12 Rabiulawal
merupakan satu tarikh keramat dalam sejarah umat Islam di seluruh dunia.
Kedatangan Nabi Muhammad merupakan satu rahmat terbesar dan anugerah teragung
yang Allah berikan kepada alam semesta ini. Manusia pada saat itu berada dalam
kekufuran, kegelapan syirik, tidak mengenal
pencipta mereka. Pada masa tersebut, penyembahan terhadap
berhala-berhala adalah merupakan satu penghormatan, perzinaan adalah suatu
kebanggaan, mabuk dan berjudi berleluasa, merompak serta membunuh adalah suatu
keberanian. Sehubungan ini Allah mengutus seorang Rasul yang ditunggu oleh umat
manusia untuk menghentikan semua kerosakan ini dan membawanya kepada cahaya
Ilahi.
MENGHAYATI PERJUANGAN NABI
Bersempena
sambutan Maulidur Rasul yang diadakan saban tahun menuntut kita sama-sama menghayati dan
mencontohi ketabahan serta kesungguhan baginda dan para sahabat dalam
menegakkan syiar Islam sehingga terpancar kecemerlangan dan kegemilangan Islam
merentasi dunia timur dan barat. Selain itu, nabi Muhammad juga amat dikenali
sebagai seorang yang suka menghubungkan silaturrahim, menolong orang yang dalam
kesusahan, membantu anak yatim dan ibu
tunggal, seorang yang pemurah dan sebagainya.
KEPERIBADIAN TERPUJI
Masyarakat
Arab Quraisy amat senang dengan keperibadian yang dimiliki
oleh nabi Muhammad, baginda pernah hidup bersama-sama masyarakat Quraisy,
pernah bersama-sama membangunkan semula Kaabah yang runtuh akibat banjir.
Baginda dikenali di kalangan masyarakat
Arab sebagai seorang yang baik budi pekertinya,
seorang yang amanah sehingga digelar al-amin.
Tetapi
mengapa tiba-tiba nabi Muhammad menjadi orang yang paling mereka benci? Apakah
orang Quraisy tidak kenal siapa baginda sehingga mereka ingin membunuhnya? Mereka benar-benar telah merancang untuk
membunuh nabi Muhammad dengan berbagai-bagai perancangan jahat, namun baginda
diselamatkan oleh Allah. Allah merakamkan perancangan jahat orang musyrikin
untuk membunuh nabi Muhammad S.A.W akan tetapi Allah telah menggagalkan
perancangan mereka. Firman Allah dalam surat al-Anfal ayat 30:
"Ingatlah
(wahai Muhammad), ketika orang kafir musyrik ( Mekah ) menjalankan perancangan jahat terhadapmu
untuk menjarakkanmu atau membunuhmu atau mengusirmu. Mereka menjalankan
perancangan jahat dan Allah menggagalkan perancangan jahat (mereka). Allah
sebaik-baik yang menggagalkan perancangan jahat".
KETOKOHAN
Baginda Rasulullah S.A.W. mempunyai pandangan yang
jauh, akal fikiran yang tajam , semangat juang yang tinggi, kekuatan mental dan
rohani serta tabah dan berani dalam menempuh pelbagai cabaran dan dugaan yang
seharusnya dicontohi, sama ada di waktu penghijrahannya dari kota Mekah ke kota
Madinah atau selepasnya. Oleh yang demikian, umat Islam hendaklah bangun membina kekuatan rohani
seimbang dengan kekuatan mental dan jasmani seperti yang ditunjukkan oleh
baginda Rasulullah S.A.W. dalam menyebar luas syiar Islam. Oleh itu setiap umat
Islam adalah bertanggungjawab
mempertahankan agama Allah.
Ketokohan
nabi Muhammad sebagai manusia teragung yang pernah dilahirkan di muka bumi ini
memang tidak dapat disangkal lagi walaupun oleh orientalis-orientalis dari barat.
Jika hendak dibandingkan dengan ajaran lain seperti Kristian, Buddha, mahupun
Yahudi, Rasulullah (S.A.W) merupakan satu-satunya pengasas agama yang secara
jelas sejarahnya diceritakan sejak baginda dilahirkan sehingga baginda wafat.
Ketokohan Nabi Muhammad (S.A.W) dalam memimpin sebuah negara, menjadi seorang
jeneral perang, menunjukkan contoh yang terbaik kepada umatnya bagaimana untuk
menjadi seorang sahabat, ayah, suami, anak dan lain-lain menjadikan baginda
sebagai manusia yang teragung yang pernah dilahirkan hingga ke hari ini.
KEADAAN KUCAR KACIR
Keadaan
dunia pada masa itu amat tenat dan kucar kacir. Manusia pada ketika itu telah
berperangai kebinatangan. Terlalu banyak
kelakuan buruk yang melingkari masyarakat ketika itu. Bukan sahaja di semenanjung
tanah Arab, bahkan di negara Parsi dan juga Rom. Kehidupan mereka sungguh
teruk, meminum arak menjadi satu kebanggaan. Persundalan dianggap satu
keseronokan, amalan riba' berleluasa dalam perniagaan, hidup berpoya-poya
menjadi tanpa haluan.
Kekejaman
yang dilakukan dianggap satu keperkasaan. Kekuatan digunakan untuk menindas.
Kekuasaan digunakan untuk mengaut kekayaan. Para penguasa selalu dimuliakan
bahkan kadangkala dianggap sebagai tuhan. Orang awam yang lemah selalunya di
perhambakan. Kepandaian sering digunakan untuk menipu. Setiap saat akal
sentiasa digunakan untuk berbuat jahat dan untuk memenuhi tuntutan nafsu.
Demikianlah gambaran masyarakat ketika baginda diutuskan. Apa yang perlu
dilakukan oleh umat Islam pada masa kini adalah menjadikan Nabi Muhammad
sebagai contoh teladan yang paling sekali.
Demi
sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang
baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan
baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak
(dalam masa susah dan senang). (al-ahzab 21).
Kesimpulan
Oleh
yang demikian wajarlah kita merenung kembali sirah Rasulullah (S.A.W) dan
mengkaji sendiri tentang manusia teragung ini dan peranannya dalam pembangunan
manusia sejagat. Maulidur Rasul juga
merupakan masanya bagi umat Islam untuk memperingati semula Rasulullah s.a.w.
dan seterusnya menjadikan contoh sifat dan kehidupannya kerana baginda adalah
teladan terbaik.
Sumber: Akhbar Utusan Malaysia
JAKIM
COMMENTS